
PERTUBUHAN KEBAJIKAN ISLAM LEBANON:
TINJAUAN AWAL KE ARAH PEMANTAPAN INSTITUSI AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMACAH DI MALAYSIA
Disediakan oleh;
DR. SULAIMAN BIN IBRAHIM
KHAIRI BIN JALALLUDDIN
MOHD SYAMIL BIN MOHAMAD SULAIMAN
1.0 PENDAHULUAN
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي تنزه عن الكيف والزمان، الذي لا يحويه جهة ولا يحده مكان، والصلاة والسلام على النبي العالي القدر الرفيع الشأن، محمد خير البرايا من أنس وجان، وعلى ءاله وصحابته الذين نشروا الدين في الفيافي والبلدان.
أما بعد:
Kertas kerja ini akan membicarakan tajuk “Pertubuhan Kebajikan Islam di Lebanon; Tinjauan awal ke arah pemantapan aqidah Ahlu al-sunnah wa al-jama’ah”. Pertubuhan Kebajikan Islam yang bergiat aktif mula diterima oleh masyarakat setempat dan antarabangsa khususnya di Eropah. Ia dipimpin oleh Syeikh Husam al-Din Qaraqirah. Mursyidul Amnya ialah Muhadith Syeikh Abdullah al-Harari yang dikenali sebagai “al-Habsyi” selepas ini dipanggil “Syeikh Abdullah”. Asas pegangan pertubuhan ini ialah akidah Ahlu al-sunnah wa al-jamaah menurut mazhab Ayairah dan maturidiyyah, bermazhab Syafie dalam urusan hukum-hakam fiqh dan beramal dengan ajaran Tarikat Rifaciyah. Kesemua mazhab ini yang diketengahkan ini tidak mengajak kepada taklid buta atau taksub mazhab tetapi sebagai petunjuk jalan (لا تقليدا بل إهتداء) . Ahli-ahli pertubuhan ini juga amat aktif berdakwah dan mempertahankan kesucian Islam dengan pelbagai pendekatan dan strategi yang tersusun. Di antara metod dakwah pertubuhan ini ialah memperkasakan ilmu fardhu ain khususnya Akidah Islamiyyah di kalangan masyarakat Islam, mengenalpasti kesilapan umat Islam dalam membuat kenyataan di media massa. Seterusnya berbincang dengan mereka yang terlibat dengan mengemukakan hujah ulama muktabar. Pendedahan dan dialog akan dibuat secara terbuka untuk mengelakkan masyarakat Islam terkeliru atau menyimpang daripada landasan Ahlu al-sunnah wa al-jamaah.
Pertubuhan ini juga menggunakan pelbagai medium dakwah antaranya ialah pengedaran cd, kaset dan buku-buku karangan Syeikh Abdullah al-Harari ke seluruh dunia. Mereka juga menggunakan kemajuan teknologi internet yang beroperasi di pelbagai negara. Pelbagai bahan multimedia samada dalam bentuk audio, video, photo, pdf dan sebagainya telah disebarkan melalui laman rasmi mereka. Terdapat juga Radio yang beroperasi selama 24 jam dalam laman (www.2mfm.org). Pertubuhan ini juga, telah menubuhkan taska, sekolah rendah, menengah,, kolej, universiti, masjid dan pusat khidmat awam, pusat Islam untuk pelbagai lapisan masyarakat mengikuti pengajaran ilmu fardu ain dan kelas-kelas talaqqi mereka. Pertubuhan ini juga menubuhkan kumpulan nasyid yang merupakan salah satu cara dakwah dalam pelbagai majlis samada dalam majlis rasmi atau bukan rasmi. Saya berpendapat mereka adalah persatuan Islam yang berstrategi, tersusun dan mempunyai banyak cawangan antaranya Jordan, United States, Canada, Australia, Jerman, Perancis, Switzerland dan sebagainya. Di Malaysia masih lagi tidak ada cawangan rasmi pertubuhan ini. Walaubagaimanapun terdapat beberapa orang anak-anak murid Syeikh Abdullah yang menggerakkan dakwah atas inisiatif sendiri.
Di akhir perbahasan kertas kerja ini penulis akan membuat rumusan dan kesimpulan berkaitan dengan pertubuhan atau “jamciyyah” ini. Perkataan “jamciyyah” akan digunakan selepas ini untuk merujuk kepada “Jamciyyah al-Masyaari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah” atau dalam Bahasa Melaysia “Pertubuhan Kebajikan Islam”.
Kertas kerja ini juga akan menyetuh tentang peranan yang boleh dimainkan oleh “Jamciyyah” ini dalam memperkasakan institusi Ahlu al-sunnah wa al-jamaah di Malaysia seperti Jabatan Agama Islam (Pusat atau Negeri), Institut Latihan Islam Malaysia atau ILIM, Sekolah Agama, Sekolah Pondok dan Persatuan NGO Islam.
Kertas kerja ini juga dibuat dalam bentuk dokumentasi dan terdapat foto-foto di lampiran supaya memudahkan pembaca mendapat gambaran umum tetang perjalanan jamciyyah ini. Semoga mendapat maklum. Sekian terima kasih.
2.0 PERTUBUHAN KEBAJIKAN ISLAM (JAMCIYYAH) DI LEBANON
2.1 SEJARAH JAMCIYYAH
Jamciyyah ini telah ditubuh pada tahun 1930 yang bertujuan untuk membantu golongan fakir, miskin, anak-anak yatim dan mubaligh yang berdakwah. Ia diberi nafas baru apabila dipimpin oleh Syeikh Nizar al-Halabi pada tahun 1983. Beliau telah mengatur strategi dakwah yang lebih praktikal dan tersusun . Perbincangan lebih lanjut tentang cawangan jamciyyah di dalam medium dakwah.
Matlamat jamciyyah sebagaimana yang disebutkan dalam lama web rasmi mereka ialah;
Jamciyyah ditubuhkan untuk melaksanakan pengajaran Islam yang betepatan dengan al-Quran.
Jamciyyah berpegang bahawa ahlu al-sunnah wa al-jamaah ialah mereka yang berpegang kepada Sunnah Nabi Muhammad SAW.
Jamciyyah menekankan kepentingan pengajaran ilmu agama “dharuri" (fardu ain) dan sebagainya mestilah betul dan disertakan dengan bukti atau dalil yang jelas .
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa amalan yang paling utama ialah beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Berdasarkan hadis tersebut jamciyyah menekankan kepada pengajaran ilmu Tauhid yang wajib diketahui oleh setiap orang, apa yang sepatutnya disifatkan dan tidak disifatkan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jamciyyah mengambil jalan pertengahan (moderate) dan sentiasa berusaha untuk menjauhkan masyarakat Islam daripada penyelewengan dan pelampau agama.
Jamciyyah tidak bertoleransi dengan mereka yang menyelewengkan kepercayaan terhadap Nabi Muhammad SAW, para sahabat, pengikut sahabat dan mereka yang dikenali sebagai Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Jamciyyah menetapkan matlamat dengan menyedari bahawa kemenangan mengalahkan kesesatan hanya boleh dicapai melalui peyebaran agama yang betul kepada masyarakat. Kesedaran itu hanya boleh dicapai melalui ketaatan kepada Allah SWT yang Maha Pencipta.
Jamciyyah menyeru agar umat Islam saling bekerjasama antara satu sama lain dan juga saling bertanggungjawab dalam membantu golongan susah, fakir miskin, anak yatim dan sebagainya (sama orang Islam atau bukan Islam).
2.2 KEPIMPINAN JAMCIYYAH
2.2.1 ABDULLAH AL-HARARI
Abdullah bin Muhammad bin Yusuf bin Abdullah bin Jami’ al-Harari, al-Syibi, al-Abdari, ( Abu Abd. Rahman). Beliau dilahirkan di ibu kota Harar pada tahun 1920 (1328 Hijrah). Telah meninggal dunia pada hari Selasa bertarikh 2 September 2008 (1429 Hijrah) di Beirut Lubnan (Lebanon) . Ini bermakna umur hayatnya adalah 88 tahun. Pernah menjawat jawatan sebagai Mufti di Harar pada zaman Pemerintahan Hilasilasi. Abdullah al-Harari juga di kenali sebagai al-Habsyi.
Beliau telah menghafaz al-Quran ketika berusia 7 tahun. Beliau juga menghafal matan-matan ilmu-ilmu agama dan menfokuskan kepada hafalan “sunnan sittah” sehinggalah pada usianya 18 tahun, beliau diijazahkan untuk meriwayat hadis-hadis Nabi.
Beliau pernah belajar dengan para ulama di Harar, Mekah dan Madinah dalam pelbagai disiplin ilmu antaranya ialah;
• Ilmu fiqh Syafie dan ilmu usulnya; Syeikh Muhammad Abdu Salam al-Harar, Syeikh Muhammad Omar Jamei’ Al-Harary, Syeikh Muhammad Rasyad al-Habasyi, Syeikh Ibrahim Abil Gaish al-Harary, Syeikh Yunus al-Habasyi, Syeikh Muhammad Siraj al Jabruty.
• Fiqh tiga Mazhab dan usulnya; Syeikh Muhammad al-Araby al-Fasy dan Syeikh Abdur Rahman al-Habasyi
• Ilmu bahasa arab; Syeikh al-Soleh Ahmad al Basir dan Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Habasyi
• Ilmu tafsir; Syeikh Syarif al-Habsyi
• Ilmu hadis; Al-Syeikh Abu Bakar Muhammad Siraj al Jabruty Mufti Habsyah dan Syeikh Abdur Rahman bin Abdillah al-Habsyi.
• ilmu Qiraat 14; Syeikh al-Muhaddis Ahmad Abdu al-Muttalib al-Jabaruty al Habsyi
• Tariqat al-Naqsyabandiah; Syeikh Abdul Ghafur al-Afghani al-Naqsyabandi
• Tariqat al-Rifaeyah; Syeikh Abdurrahman al-Sabsabi al Hamawy dan dari syeikh Tohir al-Kayaly al Humsi.
• Tariqat al-Qadiriyah; Syeikh Ahmad al-Arbiny dan dari syeikh al-Toyyib al-Dimasyqi.
Antara ulama-ulama di Mekah yang sempat beliau berkenalan dan bersahabat ialah: Syeikh al-Aalim al-Said Alawi al-Maliki, Syeikh Amin al-Kutbi, Syeikh Muhammad Yasin al-Padani (Berasal dari Padang Indonesia) dan Syeikh Muhammad al Araby al-Tabban.
Antara kitab-kitab beliau:
1. Syarah Alfiah al-Iraqi
2. Al-Sirot al-Mustaqim fi al-Tauhid
3. Al-Dalil al-Qowim a’la al-Sirot al-Mustaqim
4. Al-Syarah al-Qawim fi halli Alfaz Sirot al-Mustaqim
5. Mukhtasor Abdullah al-Harari al-Kafil bi ‘Ilmi al-Din al-Dharuri a’la Mazhab Imam al-Syafi’e
6. Mukhtasor Abdullah al-Harari al-Kafil bi ‘Ilmi al-Din al-Dharuri a’la Mazhab Imam Malik
7. Mukhtasor Abdullah al-Harari al-Kafil bi ‘Ilmi al-Din al-Dharuri a’la Mazhab Imam Abu Hanifah
8. Bughyatu al-Tolib li Makrifati al-Ilmi al-Dini al-Wajib
9. Ta’aqqub al-Hasis a’la Man To’ana fi ma sohha min al-Hadis.
10. Al-Rawaih al-Zakiyyah fi Maulid Khair al-Bariyyah
11. Izhar al-‘Akidah al-Sunniyah bisyarh al-Akidah al-Tohawiyyah
12. Syarah Alfiah al-Zubad fi Fiqh al-Syafie
13. Syarah Matan al-Asymawiyyah fi Fiqh al-Maliki
14. Al-Maqalat al-Sunniyah
15. Syarah Mutatimah al-Ajrumiyyah fi al-Nahu
16. Syarah Matan Abi Suja’ fi Fiqh al-Syafie
17. Syarah al-Baiquniyyah fi Mustolah al-Hadis
18. Kitab Durr al-Nadhid fi Ahkam al-Tajwid
19. Durrah Bahiyah fi hal Alfaz al-Akidah al-Tohawiyah
20. Al-Matholib al-Wafiah Syarah al-Akidah al-Nasafiyyah
21. Sorih al-Bayan fi Rad man Kholafa al-Quran
22. Al-Tahzir al-Syar’i al-Wajib (Juzuk Pertama)
23. Syarah Alfiah al-Sayuthi fi Mustolah al-Hadis
24. Qosidah fi al-Iktiqod
25. Syarah al-Sifat al-Salas Asyarah al-Wajibah Lillah
26. al-Akidah al-Manjiah
27. Syarah al-Tanbih li Imam al-Syirazi fi al-Fiqh al-Syafie
28. Syarah manhaj al-Tullab li Syeikh Zakaria al-Ansori fi al-Fiqh al-Syafie
29. Syarah Kitab Sullamu al-Taufiq ila Mahabbatillah
30. Syarah Manzumah al-Soban fi al-Arud
31. al-Gharah al-Imaniyyah fi Rodd mafasid al-Tahririyyah
32. Risalah fi Butlan Da’wa Awaliyyah al-Nur al-Muhammadi
33. Risalah fi al-Rad ‘ala Qaul al-Ba’du; Inna al-Rasul Ya’lamu Kulla Syaien Ya’lamuhullah.
34. Manzumah “ Nasihah al-Tullab”
Keperibadian Syeikh Abdullah al-Harari amatlah mulia. Beliau adalah seorang yang wara’, tawadhuk, banyak melakukan ibadah, zuhud. Sebahagian besar waktunya diisi dengan membaca al-Quran, berzikir dan mengajar ilmu agama.
Dr. Hirsi Muhammad Hailulah, Bekas Pensyarah Kulliyah Dakwah, USIM pernah menulis artikel yang bertajuk “Man Huwa Syeikh al-Habsyi?.” dan mengatakan bahawa: “Beliau adalah Mujaddid Manhaj Ahlu al-Sunnah wa a-Jamaah pada zaman moden ini”.
Di antara ulama yang memuji usaha-usaha dakwah beliau ialah Syeikh Muhammad Utsman Sirajuddin al-Naqsyabandi, Syeikh Izzuddin al-Khaznawi, Syeikh Abd. Aziz al-Ghumari, Syeikh Abdul Razak al-Halabi, al-Syeikh Mohammad Bilal, Haji Abdul Qadir al-Mandiliy.
UCAPAN TAKZIAH DARIPADA ULAMA MALAYSIA
Antara ulama’ di Malaysia yang telah memberikan ucapan takziah kepada Abdullah al-Harari ialah Ustaz Abd. Al-Halim bin Awang , Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad , Dato' Hj Wan Mohammad Dato' Syeikh Abd Aziz , Dato’ Haji Noh bin Gadut dan Datuk Hj. Abd Rahman b. Osman.
2.2.2 NIZAR HALABI
Beliau ialah Nizar Rasyid bin Hassan al-Halabiy merupakan warganegara Lebanon. Dilahirkan di bandar Beirut pada tahun 1952 (1372 Hijrah). Bekas pelajar di Sekolah Rendah Abu Bakar dan Sekolah Menengah Umar al-Khattab. Kemudian beliau telah menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Pengajian Islam di Cawangan Azhar di Beirut. Setelah itu, beliau meneruskan pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Fakultii Syariah dan Qanun di Universiti Azhar. Beliau telah berjaya mendapat Ijazah tersebut pada tahun 1975. Kemudian beliau bertugas sebagai Imam di Masjid Abd. Ghani Basha di daerah Burj Abi Haydar di Beirut. Beliau bergerak aktif memberi ceramah dan khutbah Jumaat di Masjid tersebut dan sekitarnya. Pada tahun 1983, beliau telah diberi kepercayaan memimpin Jamciyyah al-Masyaarik al-Khairiyyah al-Islamiyyah dan merupakan orang kedua selepas Syeikh Abdullah al-Harari. Oleh kerana kelantangannya menentang ajaran sesat dan bid’ah, akhirnya beliau telah dibunuh dengan beberapa das tembakan oleh penjenayah . Peristiwa tersebut berlaku pada 31 Ogos 1995 sewaktu usianya 43 tahun.
2.2.3 HUSAM AL-DIN QARAQIRAH
Beliau telah mengantikan Syeikh Nizar Halabi yang telah meninggal dunia pada tahun 1995. Sebelum itu, beliau adalah Pengarah di Bahagian Dakwah, Jamciyyah. Beliau kerap kali mewakili al-Marhum Nizar Halabi ke negara-negara untuk memastikan pergerakan dakwah jamciyyah berjalan lancar. Pada tahun 1989 sewaktu (Syeikh Nizar masih memimpin) beliau telah dilantik menjawat jawatan sebagai Naib Presiden. Di samping itu juga beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Jamciyyah.
Sebelum memegang jawatan-jawatan tersebut, beliau adalah merupakan anak murid Syeikh Abdullah al-Harari yang sentiasa menadah ilmu daripadanya. Beliau mempelajari kitab-kitab Syeikh Abdullah antaranya Ilmu Aqidah: Kitab al-Sirat al-Mustaqim, Dalil al-Qawim ‘ala al-Sirat al-Mustaqim, al-Aqidah al-Tohawiyyah, al-Aqidah al-Nasafiyyah. Ilmu Fiqh: Matan Zubad, Matan Abu Syujak, Bugytut Tolib dan Sulam al-Taufiq. Beliau juga mempelajari ilmu hadis daripada Syeikh Abdullah dan diijazahkan untuk meriwayatkan hadis daripadanya. Beliau juga telah mendapat ijazah daripada Muhadis Abdullah al-Ghumari dalam ilmu yang berkaitan dengan hadis, tafsir, usul dan ilmu-ilmu syariah. Beliau juga memiliki sijil dan ijazah dalam bidang Syariah.
Syeikh Husam pernah diundang ke Multaqa Ulama Sedunia pada 10-13 Julai 2003 di Marriot Hotel, Putrajaya anjuran YADIM dan beliau telah membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Perkembangan Ideologi Pelampau dan Kesannya Ke Atas Tamadun” .
2.3 ASAS PEMIKIRAN DAN PEGANGAN JAMCIYYAH
Jamciyyah ini berpegang kepada al-Quran, Hadis, pendapat Imam yang muktabar seperti Imam al-Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Maliki dan Imam Ahmad bin Hanbal. Dari aspek aqidah jamciyyah ini berpegang kepada mazhab dipelopori oleh Imam Abu al-Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang merupakan Imam ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Manakala dari aspek hukum-hakam pula, jamciyyah ini menuruti mazhab Syafi’eyyah dengan mengambilkira perbezaan pendapat dari kalangan ahli-ahli fiqh . Dalam bidang akhlak, pengikut jamciyyah ini mengikuti beberapa ajaran Tasawwuf dan yang utamanya ialah Tarikat Rifaciyyah. Penulis akan memilih tajuk kecil sebagai contoh pegangan jamciyyah dalam akidah iaitu berkaitan sifat Allah SWT.
Perkara yang amat penting dan kerap kali ditekankan dalam pengajaran ilmu Tanzih ialah dengan mengatakan “Allah SWT ada, tetapi tidak bertempat” atau dalam bahasa Arabya:
الله موجود بلا مكان
Hujah-hujah digunakan terlalu banyak dan boleh didapati di kebanyakan kitab yang di keluarkan oleh jamciyyah. Antara hujah yang digunakan ialah;
a. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 11
قال الله تعالى : " ليس كمثله شيء"
b. Hadis Nabi SAW
قال : " كان الله ولم يكن شيء غيره وكان عرشه على الماء"
Ibn Hajar Asqalani dalam menerangkan hadis ini mengatakan bahawa maksud “perkataan (كان) pada yang pertama itu adalah “azaliyyah” iaitu kewujudan Allah SWT sedia ada dan maksud perkataan (كان) pada yang kedua itu ialah “hadithah” sesuatu yang wujud daripada tiada” .
Justeru, mustahil Allah SWT tinggal di atas ‘Arash, duduk atau bersemayam di atasnya. Ini adalah kerana, jika berlaku seperti itu akan membawa kepada maksud Allah SWT berpindah ke tempat tinggal yang baharu iaitu Arash. Mungkin orang akan bertanya sebelum kewujudan Arash di mana Allah SWT tinggal?.
c. Ijmak
Oleh itu, ulama-ulama telah berijmak bahawa Maha Suci Allah SWT mempunyai tempat tinggal . Ijmak ini telah dinukilkan oleh al-Hafiz Abd, al-Qohir al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farqu baina al-Firaq.
"وأجمعوا على أنه لا يحويه مكان ولا يجري عليه زمان، على خلاف قول من زعم من الهشامية والكرامية أنه مماس لعرشه وقد قال أمير المؤمنين علي رضي الله عنه إن الله تعالى خلق العرش إظهارا لقدرته لا مكانا لذاته وقال أيضا قد كان ولا مكان وهو الآن ما عليه كان".
d. Ulama Salaf: Imam Abu Jaafar al-Tahawiy telah mengatakan,
" تعالى الله عن الحدود والغايات والأركان والأعضاء والأدوات ولا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"
e. Ulama Khalaf: Imam al-Baihaqi dalam kitabnya yang berjudul al-Asma’ wa al-Sifat mengatakan:
" واستدل بعض أصحابنا في نفي المكان عنه بقول النبي صلى الله عليه وسلم : " أنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء ، وإذا لم يكن فوقه شيء ولا دونه شيء لم يكن في مكان".
2.4 METODOLOGI DAKWAH JAMCIYYAH
Metodologi atau uslub jamciyyah berasaskan kepada firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110, hadis Nabi SAW yang diriwiyatkan oleh Muslim yang menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran . Mereka tidak berdiam dengan pendusta agama, sentiasa menegur kesilapan, mengatakan yang benar walaupun pahit didengar, sanggup dikritik, malah sanggup berkorban untuk menegakkan kebenaran.
Berikut adalah metodologi yang digunakan iaitu;
2.4.1 MENYERU KEPADA PERPADUAN UMAT ISLAM
Wasiat terakhir ini telah dikeluarkan oleh Syeikh Abdullah sebelum kembali ke rahmatullah. Beliau menekankan kepada kepentingan perpaduan dan mengelakkan perpecahan kerana dengan perpecahan umat Islam akan memberi laluan mudah kepada musuh Islam menghancurkan agama suci ini. Antara hadis yang dicatatkan ialah;
قال رسول الله : " لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه".
قال رسول الله : " المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا".
Justeru, pendekatan dakwah yang digunakan sebelum ini dan masa kini dan akan datang, bukan bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam sebagaimana yang didakwa sebahagian pihak bah menyatukan mejoriti umat Islam yang berpegang kepada Aqidah ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
2.4.2 MEMPERKENALKAN ILMU-ILMU FARDHU AIN
Ilmu fardhu Ain adalah ilmu yang wajib dipelajari oleh semua umat Islam. Ekoran daripada itu, jamciyyah berusaha mendekati pelbagai lapisan masyarakat termasuklah kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Pendekatan ini juga dapat menarik golongan professional muslim mendekati agama. Antara buku yang terawal diperkenalkan kepada masyarakat umum untuk dipelajari ialah Mukhtasor Abdullah al-Harari al-Kafil bi ‘Ilmi al-Din al-Dharuri a’la Mazhab Imam al-Syafi’e. Buku tersebut mengandungi ringkasan (matan) yang meliputi aqidah, permasalahan fiqh ( Bab bersuci hingga Bab Haji), beberapa hukum fiqh muamalat, dan diakhirnya terkandung hal-hal yang berkaitan maksiat hati dan anggota badan, seterusnya dosa besar dan taubat. Kemudian ringkasan ini juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Syeikh Abdullah sehingga menjadi sebuah kitab yang setebal 456 muka surat dan diberi nama sebagai “Bughyatu al-Tolib li Makrifati al-Ilmi al-Dini al-Wajib” .
2.4.3 KEUTAMAAN KEPADA AKIDAH SOLEHAH (BETUL)
Perkara utama bagi jamciyyah ini ialah penekanan kepada kepentingan aqidah samada di dalam ceramah, kitab-kitab, nasyid, internet dan sebagainya. Aqidah adalah perkara yang tidak ada tolak ansur di dalamnya sebagaimana dalam permasalahan hukum fiqh.
Di dalam kitab-kitab Syeikh Abdullah banyak menyebut hal kepentingan aqidah ini. Sebagai contohnya dalam “Kitab Sorih al-Bayan fi Rad man Kholafa al-Quran” menyatakan bahawa ilmu yang utama dipelajari ialah ilmu mengenal Allah dan Rasul-Nya. Hujah yang dibawa ialah ayat 19 Surah Muhmmad, hadis Abu Hurairah, dan pendapat Imam-Imam.
Pendekatan yang digunakan dalam aqidah ini amat digeruni pelbagai pihak kerana jamciyyah ini memperjuangkan aqidah ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah (Asyairah & Maturidiah) yang disertai hujah-hujah yang bernas, teliti dan cermat , dan dalam masa yang sama ramai masyarakat Islam pada masa kini mula melupai dan tidak mengambil peduli pegangan Akidah ini. Tambahan pula terdapat juga pelbagai kumpulan cuba menyerapkan fahaman-fahaman lain yang cuba merosakkan dan mencelarukan pemikiran mejoriti umat Islam selama ini.
Antara kitab yang masyhur digunakan dan disebarkan oleh jamciyyah ini ialah Sirot al-Mustaqim dan kemudian syarahnya yang berjudul al-Syarah al-Qawim fi Halli Alfaz al-Sirat al-Mustaqim. Kedua-dua buku ini adalah karangan Syeikh Abdullah al-Harari.
2.4.4 MENASIHAT DAN MENEGAH DARIPADA KESESATAN
Syeikh Abdullah berkata dalam Kitab al-Tahzir Syarei al-Wajib: “Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya memberi nasihat sebagaimana dalam hadisnya “al-Din al-Nasihah” maka bersandarkan daripada hadis ini, beliau menegur dan meminta umat Islam berhati-hati tentang kesilapan yang telah dilakukan oleh manusia dalam penulisan kitab-kitab dan caramah-ceramah mereka”
Justeru, nasihat dan tegahan ini didahulukan dengan menghantar wakil jamciyyah untuk bermuqobalah bagi menyatakan kesilapan yang dilakukan. Seterusnya memohon supaya ditarikbalik kenyataan yang bercanggah tersebut. Jika tidak, teguran secara terbuka akan dilakukan kepada individu-indidu yang terlibat.
2.4.5 MENEGUR SECARA TERBUKA
Teguran juga dilakukan secara terbuka dengan mengeluarkan buku-buku yang berkaitan dengan kesilapan yang dilakukan. Antara buku yang mendapat pujian ialah buku yang berjudul “ Nusrah al-Ta’aqub al-Hasis ‘ala Man To’ana fima Sohha min al-Hadis” yang membongkarkan kesilapan Syeikh Nasaruddin al-Albani dalam mentashihkan hadis Nabi SAW. Buku yang ditulis setebal 131 muka surat ini telah mendapat pujian daripada Muhaddith Morocco Syeikh Abdullah al-Ghummari kerana ilmiah dan teliti dalam perbincangannya.
Selain itu, terdapat buku Kitab al-Tahzir Syarei al-Wajib yang memuatkan senarai buku dan para ulama yang tersilap atau terlepas pandang dalam penulisan dan kenyataan mereka. Usaha ini bukanlah untuk merendah-rendah keilmuan yang ada pada para ulama yang lain tetapi sebagai peringatan dan perhatian kepada umat Islam yang lain. Ini adalah kerana, ulama bukanlah maksum sebagaimana Nabi Muhammad SAW, berkemungkinan salah dan berkemungkian betul. Justeru, buku ini menyenaraikan kesilapan mereka dalam kitab-kitab yang ditulis dan menjawab semula dengan hujah-hujah yang bernas. Buku ini juga menegur kesilapan orang awam yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
2.4.6 BERHUJAH DAN BERDEBAT
Berhujah dan berdebat adalah disyariatkan. Justeru, jamciyyah mengambil pendekatan ini sebagai metod dakwah. Antara clip video yang boleh dilihat dan didengar ialah di http://www.youtube.com/watch?v=jSCKn5hl8N8 yang memaparkan perdebatan antara Syeikh Salim Ulwan Al-Hasani mewakili jamciyyah dengan Syeikh Abd. Rahman al-Dimasyqiah . Rakaman ini dilakukan di Australia.(Lampiran)
Dalam perdebatan itu beberapa peristiwa telah berlaku antaranya;
Pertama: Terbongkar bahawa Kitab al-Rad a’la al-Habsyi yang memuatkan fitnah terhadap Syeikh Abdullah al-Harari adalah karangan Abdullah al-Syami nama samaran bagi Abd. Rahman Dimasyqiah sendiri. Tujuannya untuk menunjukkan ramai ulama’ yang menentangnya.
Kedua: Dalam perdebatan tersebut juga terbongkar bahawa Syeikh Ibn Taimiah telah menyatakan dalam bukunya Kalimat Toyyib, Tahqik oleh Syeikh Nasaruddin al-Bani, Cetakan Maktabah al-Islami ms; 120 bahawa harus menyebut “ Ya Muhammad” selepas kewafatannya. Sedangkan Abd. Rahman al-Dimasyqiah mengkafirkan orang yang mengatakan “Ya Muhammad”.
Ketiga: Abd. Rahman al-Dimasyqiah mendakwa Allah SWT berada di atas dilangit dan bersemayam di atas Arash (Singahsana). Nauzubillah.
Ekoran daripada itu, jamciyyah melalui cawangannya di Jordan telah mengeluarkan buku yang menangkis tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh Abd. Rahman al-Dimasyqiyyah kepada Syeikh Abdullah .
2. 5 MEDIUM DAKWAH JAMCIYYAH
Medium atau wasilah dakwah adalah merupakan perkara terpenting untuk menyampaikan dakwah kepada sasarannya. Jika mediumnya berkesan dan sesuai maka sudah pasti mesejnya dapat diterima oleh sasaran dengan mudah. Jamciyyah ini telah menggunakan pelbagai jenis medium dakwah, dan yang paling berkesan sekali ialah kewujudan jamciyyah atau pertubuhan itu sendiri yang berpusat di Beirut Lebanon.
2.5.1 PERTUBUHAN
Jamciyyah ini aktif beroperasi pada tahun 1983 dan diberi nama Jamciyyah al-Masyaari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah atau dalam bahasa Inggeris Association of Islamic Charitable Projects (A.I.C.P). Berpusat di Beirut, Lubnan (Burj Abi Haidar) dan mempunyai cawangan di kesemua daerah di Lubnan. Begitu juga terdapat cawangan-cawangannya di beberapa negara. Antaranya Jordan, Australia, USA, Canada, Switzerland, Jerman, Perancis, UK, Turki, Rusia, Taiwan dan lain-lain. Tetapi yang paling aktif kebanyakannya di negara Eropah. Dan cawangan-cawangan jamciyyah ini di seluruh dunia dikatakan mencapai lebih daripada 33 buah cawangan. Cawangan ini saling membantu antara satu sama lain dan mereka bergerak atas nama Pertubhan atau Persatuan yang melambangkan Kebajikan Islam dan bukan berfahaman parti politik.
2.5.2 PANEL PEMIKIR (THINK TANK)
Boleh di katakan kekuatan jamciyyah ini terletak juga kepada kumpulan pemikir yang pakar dalam bidang masing-masing. Mereka berkumpul dan membuat kajian di Pusat Penyelidikan dan Khidmat Kebudayaan di Beirut, Lubnan . Manakala di Jordan di Bahagian Penyelidikan dan Kajian Islam di Amman. Selain itu jamciyyah juga mempunyai Dar al-Fatwa di Australia yang dianggotai oleh Majlis Ulama’. Di antara buku terbaru yang diterbitkan pada 19 September 2008 oleh Dar al-Fatwa di Australia ialah Kitab al-Jawahir al-Lami’ah fi Bayan Aqidah Ahli al-Islam Jaami’ah . (Lampiran)
2.5.3 INTERNET
Internet adalah merupakan medium yang digunakan oleh jamciyyah bagi memberi maklumat yang tepat dan gambaran yang sebenar tentang jamciyyah. Pengguna internet mungkin tidak dapat melayari ke website jamieyyah ini sekiranya menaip perkataan “al-Ahbash” dalam ruangan search Yahoo, Google dan sebagainya. Ini adalah kerana, perkataan al-Ahbash adalah gelaran yang diberikan oleh golongan yang amat bencikan perjuangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Justeru, contoh yang paling mudah pengguna internet perlu menaipkan “ Association of Islamic Charitable Projects (A.I.C.P.)”. Kemudian doubleklik di bahagian “link” di website tersebut. Para pengguna (pelawat) akan mendapati senarai 16 website jamciyyah dan lima website sekolah/kolej yang dikendalikan oleh jamciyyah. Senarai website tersebut amat berguna untuk para pengkaji menambahkan pengetahuan yang lebih mendalam dan tepat mengenai jamciyyah ini. Ia ditulis dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Arab, Inggeris, Perancis dan lain-lain.
2.5. 4 RADIO
Jamciyyah juga mempunyai siaran radio tempatan di Beirut yang dikenali sebagai “Nida’ al-Iman”. Terdapat juga, Station Radio yang dikenali sebagai “Nidaa Al-Maarifa Radio Station” di Beirut, Lubnan . Selain itu, jamciyyah mempunyai Radio yang beroperasi selama 24 jam dari Australia . Ia dikendalikan dalam Bahasa Arab dan Inggeris.
2.5.5 KHUTBAH JUMAAT
Jamciyyah menyediakan bahan khutbah untuk para khatib menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid-Majid. Kebanyakkan bahan tersebut juga dicedok daripada apa yang dipelajari daripada Syeikh Abdullah al-Harari. Terdapat 124 tajuk khutbah yang boleh diakses melalui internet.
2.5.6 UNIVERSITI
Jamciyyah juga diberi kepercayaan menubuh dan memimpin sebuah Universiti yang terkenal iaitu Jaamiah al-Alamiyyah atau Global University. Ini dapat dibukti apabila Dr. Adnan Trabulsi (Bekas naib presiden jamciyyah dan bekas ahli parlimen) dilantik sebagai Presiden University tersebut. Universiti ini ditubuhkan pada tahun 1992 dan terdapat tiga fakulti iaitu Pentadbiran Sains, Sains Kesihatan dan Kesusateraan & Kemanusiaan . Pengajian Islam & Bahasa Arab diletakkan di bahagian Fakulti Kesusateraan & Kemanusiaan. Objektif utama pengajian Islam tersebut adalah untuk mengajar ilmu-ilmu Islam dan kefahaman Islam yang betul berdasarkan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah yang moderate. Fakulti menawarkan dua jenis jurusan iaitu Usuluddin dan Syariah di peringkat Ijazah Pertama, Sarjana dan Kedoktoran .
2.6 PENGARUH JAMCIYYAH DI MALAYSIA
Jamciyyah ini berpengaruh di seluruh dunia khususnya di Eropah sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini. Ia juga diketahui oleh masyarakat Malaysia khususnya mereka yang terlibat dengan kerja-kerja dakwah Islamiah sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa.
Begitu juga, maklumat ini telah diketahui sebahagian besar pelajar-pelajar Malaysia yang pernah menuntut di bumi Syam seperti Jordan, Syiria dan Lebanon. Mereka mengenali jamciyyah ini dengan dekat. Sebagai contoh, terdapat sebilangan pelajar yang bertalaqqi dengan anak-anak murid Syeikh Abdullah al-Harari di rumah, masjid, mengikuti avtiviti-aktiviti ziarah dan sebagainya (Lampiran).
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pandangan-pandangan yang mempertahankan Syeikh Abdullah apabila dikritik mutakhir ini. Apatah lagi, jika perkara yang dikritikkan itu hanyalah persepsi dan andaian semata-mata.
Tambahan pula, buku-buku syeikh Abdullah telah tersebar dan boleh didapati di beberapa buah perpustakaan di IPTA seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Boleh dikatakan sebahagian besar buku Syeikh Abdullah ada di universiti tersebut. (Lampiran)
Begitu juga terdapat laman-laman blog yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia yang membantu penyaluran pemikiran dan pegangan jameiyyah ini. Antara yang utamanya ialah; http://www.abu-syafiq.blogspot.com/. Selain itu, terdapat juga pelbagai ceramah-ceramah yang berkaitan dengan pemikiran dan pegangan jamciyyah ini di Malaysia antara yang terbesar ialah Seminar Aqidah ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah pada 7 Julai 2007 di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga, Kuala Terengganu, anjuran Khazanah Diniyyah (KiDi). As-Syeikh Abdul Rahman Ammash, Dekan Fakulti Aqidah & Falsafah., Global University, Beirut, Lebanon telah hadir merasmikan program tersebut.
3.0 JAMCIYYAH; KE ARAH PEMANTAPAN INSTITUSI AHLU AL-SUNNAH WA AL-JAMA’AH DI MALAYSIA
3.1 Mazhab Ayairah & Maturidiah dalam Akidah
Syeikh Murtadha Zabidi dalam Kitabnya Ithaaf saadatu al-muttaqin menyatakan bahawa yang dimaksudkan ahlu al-sunnah wal al-jamaah ialah Imam Abu Hassan al-Ashariy dan Imam Abu Mansur al-Maturidy.
"إذا أطلق أهل السنة فالمرادبه الأشاعرة والماتريدية"
Di Malaysia, masyarakat Islam telah didik sekian lama bahawa apabila disebut perkataan ahlu al-sunnah wa al-jamaah maka ia adalah mazhab yang bersandarkan kepada kedua tokoh tersebut. Hal ini diakui oleh Abdul Syukur Husin, dalam bukunya bertajuk “Ahli Sunnah wal jamaah; Pemahaman Semula yang mengatakan;
“…Pendekatan Ahli Sunnah yang sebati dihayati oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam aspek akidah dan kepercayaan ialah fahaman dan aliran Asyairah dan Maturidiah…”
Hal ini demikian, adalah kerana terdapat pengajaran aqidah menurut mazhab tersebut di dalam selibus-selibus mata pelajaran aqidah di sekolah-sekolah seluruh negara. Sebagai contohnya tajuk yang berkaitan dengan sifat 20 dipelajari semenjak murid di sekolah rendah lagi. Begitu juga di pondok mereka mempelajari kitab-kitab mazhab ini yang dikarang oleh ulama nusantara seperti Faridah al-Fara’id fi cIlm al-Aqa’id karangan Syekh Ahmad Muhamad Zin al-Fatani (1325/1908M) dan Bidayah al-Hidayah Syekh Abdul Samad al-Palimbani(1788M/1202H)
Justeru, tidak menjadi masalah yang besar bagi jamciyyah ini untuk memperkasakan semula aqidah ahlu al-sunnah wa al-jamaah ini di Malaysia. Tambahan pula hujah-hujah yang mereka gunakan cukup teliti dan meyakinkan kerana mempunyai rujukan asal daripada Kitab Turas yang muktabar.
3.2 Mazhab Syafie dalam Fiqh
Dalam permasalahan fiqh pula, keseluruhan negeri mengamalkan mazhab syafie. Imam Abu Hassan Asya’ri juga menuruti Mazhab Syafie dalam fiqh. Hal ini dinyatakan oleh al-Hafiz Murtadha Zabidi dengan katanya:
" فالأشعري بنى كتبه على مسائل من مذهب الإمامين مالك والشافعي، أخذ ذلك بوسائط فأيدها وهذبها، والماتريدي كذلك أخذ من نصوص الإمام أبي حنيفة"
Oleh itu, tidak hairanlah masyarakat Malaysia mengikut mazhab syafie dalam fiqh ibadah. Mazhab ini juga dijadikan sebagai undang-undang di beberapa buah negeri sebagai contoh negeri Pahang , Johor dan Selangor .
Pada masa yang sama, jamciyyah berpegang dan beramal dengan mazhab Syafie. Walau bagaimanapun dalam masalah khilafiah furuiyyah ini mereka mengambil pendekatan bertolak ansur dengan mazhab yang empat. Peranan yang boleh dimainkan oleh jamciyyah ialah menitik beratkan pengamalan yang betul dalam hal-hal fardhu ain, ilmu yang wajib dipelajari oleh semua orang Islam. Apatah lagi ilmu tersebut merupakan antara objektif utama mereka dalam menyampaikan dakwah.
4.0 KESIMPULAN
3 Jamciyyah ini yang berpusat di Beirut, Lebanon mempunyai organisasi, cawangan dan bahagian yang tersusun. Cawangan-cawangannya juga termasuk yang berada di luar negara. Mereka saling membantu untuk memperkasakan aqidah ahlu al-sunnah wa al-jamaah.
4 Objektif utama jamciyyah ini ialah kebajikan. Ia meliputi kebajikan dari sudut rohani iaitu ilmu fardu ain kepada masyarakat awam dan kebajikan dari sudut fizikal seperti bantuan dalam bentuk material kepada faqir miskin, anak yatim dan sebagainya.
5 Mereka juga mempunyai barisan kepimpinan terbaik yang terdiri daripada Syeikh Abdullah sendiri sebagai penaung, Syeikh Husam al-Din Qaraqirah sebagai Presiden jamciyyah.
6 Asas pemikiran, pegangan atau dalam erti kata lain isi kandungan dakwah mereka adalah berasaskan sumber Islam yang diyakini iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan hujah-hujah ulamak yang muktabar.
7 Pegangan jamciyyah ini juga ialah bahawa Syeikh Abdullah adalah merupakan orang yang soleh dan ahli sufi, dan tidak mendakwa beliau sebagai Nabi, Imam Mahdi, Pemuda Bani Tamim dan sebagainya.
8 Metodologi jamciyyah ini masih perlu diperbincangkan dengan lebih terperinci kerana terdapat beberapa metod yang kurang disenangi oleh para ulama’ kontemporari. Ini berikutan metod tersebut terpengaruh dengan ilmu hadis iaitu “jarah” dan “ta’dil”.
9 Mereka mempunyai medium dakwah yang pelbagai, mengikuti perkembangan teknologi moden dan kehendak masyarakat umum masa kini.
10 Pengaruh jamciyyah ini terdapat di Malaysia tetapi tidak ada cawangan rasmi seperti di negara-negara lain. Para pendakwah mereka masih tidak ramai dan mereka bergerak berdasarkan inisiatif individu-individu tertentu.
11 Dakwah jamciyyah boleh diterima oleh masyarakat Malaysia berdasarkan persamaan Aqidah ahlu al-Sunnah wa al-Jama’ah dan sekaligus dapat memperkasakan institusi-institusi yang berkaitan dengannya samada Jabatan Agama Islam, Institut Latihan Islam Malaysia, Pejabat Mufti, Sekolah Agama, Sekolah Pondok dan Pertubuhan Islam yang terlibat.
5.0 RUJUKAN
Kitab
1. Abdullah al-Harari. Cetakan Kedua 2002. al-Tahzir al-Syarei al-Wajib. Beirut, Lubnan: Dar al-Masyaarik li Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzik.
2. Abdullah al-Harari. Cetakan Kelima 2004. al-Syarah al-Qowim fi halli Alfaz al-Sirat al-Mustaqim. Beirut, Lubnan: Dar al-Masyarik Li Tiba’ah wa Nasyar wa Tauzik.
3. al-Baghdadi. Cetakan Kedua 1997. al-Faqu baina al-Firaq. Beirut Lubnan: Dar al-Makrifah, ,
4. Al-Baihaqi. Cetakan Pertama 1997. al-Asma’ wa al-Sifat. Beirut Lubnan: Dar al-Jail.
5. Abdullah al-Harari. Cetakan Ketiga 1996. Bughyatu al-Tolib li Makrifati al-Ilmi al-Dini al-Wajib. Beirut, Lubnan: Dar al-Masyarik Li Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzik.
6. Abdullah al-Harari. Cetakan Kesembilan 1993. al-Sirat al-Mustaqim. Beirut, Lubnan: Dar al-Masyarik Li Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzik.
7. Abdullah al-Harari. Cetakan Ketiga 1997. Sorih al-Bayan fi Rad man Kholafa al-Quran. Beirut, Lubnan: Dar al-Masyarik Li Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzik.
8. Qism al-Abhas wa al-Dirasaat al-Islamiyyah, Jameiyyah al-Thaqafah al-Arabiyyah al-Islamiyyah. 1995. Tafnid Mazaeim al-Muddaei Fima Nasabahu Ila al-Syeikh Abdullah al-Harari, Cetakan Pertama, Amman, Jordan.
Kamus
1. , Muhamad Sayyid Nasr. t.th. Atlas al-Alam. Beirut: Maktabah Lubnan.
2. al-Munjid fi Lughah wa al-I’lam Cetakan 21 1973. Beirut: Dar al-Masyariq.
Majalah
1. Ahmad Hafiz al-Bakaniyy. 2008. Perjuangan serta sumbangan Syeikh Abdullah al-Harari dalam memartabatkan agama Islam sedunia (bahagian 2), Majalah Milenia Muslim, penerbit YADIM, Keluaran Disember, Thn. 7 Bil 76
2. Ahmad Hafiz al-Bakaniyy. 2008. Perjuangan serta sumbangan Syeikh Abdullah al-Harari dalam memartabatkan agama Islam sedunia (bahagian 1) Majalah Milenia Muslim, penerbit YADIM, Keluaran November, Thn. 7 Bil 75
3. Majalah Manar al-Huda, Bilangan 9, Muharram 1414 hijrah